CODING OUT OF POVERTY: PERBANDINGAN PRA DAN PASCA KURSUS PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK REKA BENTUK DALAM KALANGAN PELAJAR

Mohd Hafiidz Jaafar, Indahayu Ab. Rahman, Nurul Syazwa Tasnim Saipul Bahri

Abstract


Revolusi perindustrian dan teknologi telah meningkatkan keperluan terhadap sumber tempatan dalam bidang pengekodan dan industri berkaitan STEM, khususnya bagi pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia. Sehubungan itu, program Coding Out of Poverty telah dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning, PBL) sebagai satu inisiatif untuk merangsang pembangunan kemahiran digital, di samping menangani isu kemiskinan dan ketidaksamaan dalam pendidikan. Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan program tersebut berdasarkan prestasi pelajar serta persepsi mereka terhadap pembelajaran pengekodan berasaskan projek sebelum dan selepas penyertaan dalam program ini. Kajian ini melibatkan seramai 32 orang pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun dari dua buah sekolah menengah di Pulau Pinang, dengan pelaksanaan kursus secara dalam talian melalui kerjasama dengan Code School Finland. Kursus yang dijalankan merupakan sebahagian daripada program rasmi Code School Finland yang merangkumi 12 sesi pembelajaran sepenuhnya secara dalam talian. Pengumpulan data dilakukan menggunakan soal selidik separa berstruktur yang diedarkan kepada pelajar sebelum dan selepas tamat kursus. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar secara umumnya mempunyai persepsi yang positif terhadap pengekodan, tanpa sebarang respon yang mencerminkan perasaan sangat negatif. Selain itu, hasil kajian turut menunjukkan peningkatan sederhana dalam tahap pencapaian pelajar selepas mengikuti kursus, dengan kira-kira 20% pelajar mencatat peningkatan ke tahap “baik”. Penyertaan dalam pembelajaran berasaskan projek ini bukan sahaja membantu membina hubungan rakan sebaya yang positif, malah menggalakkan kreativiti dan penglibatan aktif pelajar dalam membangunkan elemen syarikat fiksyen seperti slogan, nilai dan identiti visual. Justeru, penyediaan peluang yang lebih meluas kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran pengekodan wajar terus diberi keutamaan dalam dasar pendidikan bagi menangani jurang ketidaksamaan pendidikan di Malaysia.

Keywords


Pembelajaran Berasaskan Projek, Pengekodan, Kemahiran Digital, Pendidikan STEM, Ketidaksamaan Pendidikan

Full Text:

PDF


Copyright (c) 2026 Jurnal ILMI

This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.