PERSEPSI MASYARAKAT TERHADAP MUTU MAKLUMAT SASTERA SIBER

Noor Hazwany Haji Arifin, Salmah Jan Noor Muhammad

Abstract


Media siber yang berkembang pesat pada masa kini telah memberikan kesan kepada perkembangan pelbagai bidang ilmu, tidak terkecuali dalam bidang sastera. Walaupun media ini telah diterima secara umum dalam konteks pelaksanaannya, namun masih ada pertikaian kerana tanggapan dan persepsi masyarakat yang berbagai-bagai. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat dua jalur yang berbeza mengenai persepsi masyarakat terhadap sastera siber. Jalur pertama mengatakan bahawa karya sastera siber memperlihatkan mutu estetika yang tinggi dan mempunyai etika yang mengagumkan. Manakala jalur yang kedua pula mengatakan bahawa mutu dan estetika sastera siber terjejas. Justeru itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti dan menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sastera siber dari aspek mutu maklumat. Dalam hal ini, kaedah yang digunakan dalam kajian ialah kaedah kuantitatif. Data diperoleh melalui kajian lapangan iaitu menerusi pemerhatian dan soal selidik terhadap responden iaitu pengguna laman web e-sastera (www.e-sastera.com). Seterusnya, data kajian ini akan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Sosial Sciences (SPSS). Dalam kajian ini, jenis persampelan yang digunakan oleh pengkaji ialah persampelan secara rawak mudah iaitu responden dipilih secara rawak. Ciri-ciri yang dimiliki responden dipilih mestilah memenuhi matlamat kajian iaitu mereka yang pernah melayari dan mengetahui mengenai laman web e-sastera. Pemilihan responden adalah seramai 100 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya ahli akademik, ahli profesional, pelajar, orang awam dan komuniti e-sastera sendiri. Kajian yang dilakukan berfokuskan kepada e-sastera iaitu laman web khusus tentang sastera Melayu yang telah diasaskan oleh Profesor Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas seorang pensyarah bidang kejuruteraan di Universiti Malaya.


Bagi memperkukuhkan lagi kajian, teori resepsi digunakan bersesuaian dengan tanggapan dan reaksi masyarakat terhadap karya sastera siber. Berdasarkan keseluruhan hasil kajian, didapati bahawa responden memberikan jawapan positif yang menunjukkan bahawa sastera siber mempunyai estetika dan mutu maklumat yang boleh diyakini.


Keywords


persepsi, sastera siber, mutu, estetika, teori resepsi

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.