KESILAPAN STRUKTUR AYAT BAHASA MANDARIN DALAM KALANGAN PELAJAR PENUTUR NATIF

Hazlina Abdul Halim, Ang Lay Hoon, Hoon Koh Su Fan

Abstract


Kajian ini meneroka kesilapan struktur ayat bahasa Mandarin yang dilakukan oleh pelajar penutur natif bahasa tersebut. Secara khususnya, makalah ini mengenal pasti, mengkelaskan dan membincangkan kesilapan struktur ayat dengan mengaplikasi Taksonomi Strategi Permukaan oleh Dulay, Burt & Krashen (1982). Kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah analisis teks dan temu bual. Seramai 30 orang responden Tahun 3 berbangsa Cina yang mempelajari Bahasa Mandarin terlibat dalam kajian ini. Responden dikehendaki membina ayat Bahasa Mandarin berdasarkan 10 gambar tunggal yang tidak berkait. Pemilihan gambar adalah berdasarkan imej yang berhubung kait dengan kehidupan seharian pelajar. Keseluruhan ayat disemak dari segi ketepatan tatabahasa dan makna menggunakan buku Xin Bian Xian Dai Han Yu. Kesilapan struktur ayat yang dikesan dikelaskan kepada empat kategori mengikut pengkelasan oleh Dulay, Burt & Krashen (1982), iaitu kesilapan pengurangan, penambahan, pemilihan dan penyusunan kata. Susulan daripada aktiviti penulisan, 10 orang responden dipilih secara rawak dan ditemu bual untuk mendapatkan input bagi punca kesilapan ini. Secara keseluruhan, daripada 300 ayat yang dibentuk, terdapat 50 ayat mempunyai kesilapan struktur. Responden didapati melakukan kesilapan pada keempat-empat kategori taksonomi oleh Dulay, Burt & Krashen (1982). Selain itu, terdapat juga kesilapan penggunaan kata verbal, di mana ayat yang disusun menyerupai ayat bahasa Melayu oleh responden berbangsa Cina daripada keturunan Baba Nyonya Melaka. Daripada temu bual yang dilakukan, didapati bahawa responden tidak menyedari akan kesilapan yang dilakukan. Temu bual juga mendapati kesilapan berpunca daripada ketidak acuhan tentang peraturan tatabahasa.


Keywords


Analisis Kesilapan, Bahasa Mandarin, Struktur Ayat, Taksonomi Strategi Permukaan, Pelajar Natif

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.