LEKSIKOSTATISTIK DAN GLOTOKRONOLOGI ANTARA BAHASA BANJAR DENGAN BAHASA MELAYU: KAJIAN LINGUISTIK SEJARAH DAN PERBANDINGAN

Mohd Khaidir Abdul Wahab, Adi Kasman Che Halin

Abstract


Bahasa Banjar merupakan bahasa Austronesia yang dituturkan oleh suku Banjar di Kalimantan, Indonesia sebagai bahasa ibunda. Bahasa Banjar adalah cabang bahasa yang berkembang daripada bahasa Melayu. Bahasa Banjar dihipotesiskan sebagai bahasa proto-Malayik, sama seperti bahasa Minangkabau dan bahasa Serawai atau Bengkulu. Kajian ini akan meneliti hubungan kekerabatan dan abad pisah antara bahasa Banjar dengan bahasa Melayu dengan cara menyenaraikan kosa kata asas kedua-dua bahasa ini dengan menggunakan kaedah perbandingan leksikostatistik dan penerapan kaedah glotokronologi. Tinjauan dan penyenaraian kosa kata asas bahasa ini akan memanfaatkan senarai 100 kata Morris Swadesh. Kajian ini memfokuskan dua perubahan bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Banjar yang dapat ditentukan tingkat kekerabatan dan abad pisah bagi kedua-dua bahasa ini. Daripada 100 perkataan yang dibandingkan sebanyak 91 kosa kata atau 91.9% bahasa Banjar yang berkognat dengan bahasa Melayu. Berdasarkan peratus kekerabatan ini memperlihatkan bahasa Banjar dan bahasa Melayu berada pada tingkat kekerabatan bahasa. Abad pisah kedua-dua bahasa ini diandaikan adalah di antara abad ke-17 hingga abad ke-19. Dapatan ini juga selari dengan perkiraan linguistik sejarawi, lama-waktu atau usia sesuatu bahasa/dialek kurang daripada 2500 tahun .Walaupun hubungan kekerabatan bahasa Banjar dengan bahasa Melayu sangat rapat, iaitu berada dalam tingkat kekerabatan bahasa, orang Melayu tidak dapat memahami bahasa Banjar kecuali dengan mempelajarinya. Dapatan kajian ini merupakan usaha kecil mendokumentasikan unsur linguistik bahasa Banjar yang semakin dipinggirkan.


Keywords


leksikostatistik, glotokronologi, bahasa Banjar, bahasa Melayu, linguistik sejarah dan perbandingan.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.