PENGURUSAN HUTANG MENURUT ISLAM : PENGAMALAN DALAM KALANGAN PENSYARAH KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MELAKA

Nurul Athirah Mohd Azmi, Suhaimi Abu Hasan, Hana Duerama, Shahrul Hilmi Othman, Zanariah Aripin

Abstract


Gaya hidup berhutang telah menjadi suatu amalan biasa pada masa kini. Ditambah pula dengan kewujudan kemudahan hutang yang semakin inovatif dan mudah akses seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan “overdraft” yang memotivasikan lagi masyarakat untuk berhutang bagi memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan. Keperluan dan kehendak yang tidak terkawal dalam mendepani arus inovasi produk-produk perbankan ini boleh membawa kepada pertambahan kes-kes muflis pada tahap yang membimbangkan, lebih-lebih lagi yang melibatkan golongan muda yang merupakan aset kemajuan pembangunan negara. Pertumbuhan tahunan hutang isi rumah meningkat dengan lebih pantas pada kadar 5.1% pada separuh pertama tahun 2019 yang mana masih pada tahap yang membimbangkan walaupun terkawal iaitu mencatatkan 82.2% pada akhir bulan Jun 2019, seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia. Justeru itu, pentingnya pengurusan hutang bagi individu dan usaha seseorang itu sendiri sebagai langkah mengelakkan diri daripada dibelenggu hutang yang boleh membawa kepada kemudaratan. Maka, kajian ini dijalankan bagi mengkaji tahap pengamalan pengurusan hutang dalam kalangan pensyarah Kolej Universiti Islam Melaka sekaligus mencadangkan model pengurusan hutang menurut Islam berlandaskan Maqasid Syariah. Kesahan terhadap item-item soal selidik yang telah dibangunkan telah disahkan oleh beberapa pakar dalam bidang agama dan muamalat, sebelum soal selidik diedar kepada para respondan. Model pengurusan hutang yang baik secara Islam mampu menyelesaikan masalah peningkatan kes muflis dalam kalangan masyarakat. Kajian ini juga menyokong dan selari dengan usaha-usaha kerajaan yang memberi pendidikan pengurusan kewangan peribadi serta kesedaran kepada masyarakat tentangnya melalui program-program literasi kewangan oleh agensi-agensi berkaitan sebagai usaha membantu masyarakat dalam pengurusan hutang individu dan mengurangkan jumlah kes muflis dan hutang isi rumah di Malaysia.

Keywords


Pengurusan Hutang; Model Pengurusan Hutang menurut Islam

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


Copyright (c) 2021 Jurnal 'Ulwan

This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.