IDEA FALSAFAH SEJARAH IBNU KHALDUN DALAM ANALISIS PEMBINAAN DAN PERKEMBANGAN KERAJAAN UTHMANIYAH OLEH MUHAMMAD JAMIL BAYYUHUM

Muhammad Alif Fitri Abdul Halim, Ermy Azziaty Rozali

Abstract


Ibnu Khaldun merupakan seorang tokoh yang utama dalam wacana soal sejarah, peradaban, falsafah sejarah, sosiologi dan yang seumpama dengannya. Menerusi karya besarnya, al-Muqaddimah, para pengkaji dan sejarawan selepas beliau telah mendapat pelbagai manfaat menerusi cetusan-cetusan idea, konsep dan teori berkenaan dengan kehidupan manusia. Antara pengkaji dan sejarawan yang turut memanfaatkan karya al-Muqaddimah ini ialah Muhammad Jamil Bayyuhum. Beliau merupakan seorang pengkaji dan sejarawan yang berasal dari Lubnan yang hidup di dua kurun yang berbeza; akhir kurun ke-19M dan kurun ke-20M. Muhammad Jamil Bayyuhum juga merupakan seorang penulis yang produktif. Menulis sebanyak 23 buah karya berkaitan sejarah dan isu-isu di Dunia Arab melayakkan beliau digelar sebagai al-Mufakkir al-Kabir (Pemikir Besar). Salah satu karya penting yang ditulis oleh beliau berjudul Falsafah al-Tarikh al-‘Uthmani. Ia terdiri daripada dua jilid. Jelas pada judulnya bahawa karya ini berkenaan sejarah kerajaan Uthmaniyah. Jilid yang pertama diterbitkan pada tahun 1925 memfokuskan kepada era pembinaan, perkembangan dan kegemilangan kerajaan Uthmaniyah. Manakala jilid yang kedua pula diterbitkan pada tahun 1945 berkisarkan sebab-sebab kejatuhan kerajaan ini. Kajian berteraskan kepada tiga objektif iaitu memaparkan idea falsafah sejarah Ibnu Khaldun yang terkandung di dalam al-Muqaddimah, menjelaskan idea falsafah sejarah Muhamamd Jamil Bayyuhum yang terkandung di dalam Falsafah al-Tarikh al-‘Uthmani jilid pertama dan menilai sejauh mana analisis yang telah dilakukan oleh Muhammad Jamil Bayyuhum selari dengan idea falsafah sejarah Ibnu Khaldun. Dari segi metodologi, kajian ini berbentuk kualitatif yang menggunakan pendekatan kajian sejarah dan analisis dokumen. Data-data yang dikaji itu adalah bersumberkan dua rujukan utama iaitu karya al-Muqaddimah dan Falsafah al-Tarikh al-‘Uthmani jilid pertama. Ia bermula dengan proses pembacaan, penganalisisan dan pensintesisan maklumat-maklumat yang memiliki ciri-ciri untuk dianggap sebagai suatu idea daripada kedua-dua karya tersebut. Fokusnya adalah berkaitan dengan falsafah sejarah. Kajian ini juga turut disokong oleh karya-karya turath dan kontemporari. Hasil kajian mendapati bahawa daripada lima idea falsafah sejarah yang diutarakan oleh Ibnu Khaldun, tiga daripadanya telah diaplikasikan dengan baik oleh Muhammad Jamil Bayyuhum.

Keywords


Falsafah sejarah; Ibnu Khaldun; Muhammad Jamil Bayyuhum

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


Copyright (c) 2023 Jurnal 'Ulwan

This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.