AMALAN PENGURUSAN PERNIAGAAN USAHAWAN WANITA FELCRA BERHAD

Mohd Maliki Kamarul Zaman, Norasmah Othman

Abstract


Kajian ini bertujuan untuk meneroka amalan pengurusan perniagaan usahawan wanita FELCRA Berhad dalam aspek pemasaran, sumber manusia dan kewangan. Penerokaan ini dibuat berdasarkan faktor demografi seperti pengalaman, minat, sumber pendapatan dan latar belakang keluarga. Di samping itu, prestasi perniagaan usahawan wanita dari aspek saiz perniagaan, kewangan perniagaan dan bilangan pekerja juga dikaji. Kajian dijalankan di FELCRA Berhad Seberang Perak dan melibatkan enam orang peserta kajian. Pelaksanaan bagi reka bentuk kajian ialah melalui pendekatan kualitatif. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kes bagi mendapatkan maklumat yang mendalam tentang amalan pengurusan perniagaan usahawan wanita. Bagi pengutipan data, kaedah triangulasi iaitu kaedah temu bual digunakan sebagai data utama manakala kaedah pemerhatian dan analisis dokumen dilakukan bagi menyokong data temu bual. Manakala, nota lapangan digunakan bagi mencatat dan memperkukuhkan kedua-dua dapatan tersebut. Hasil kajian mendapati faktor demografi minat dan sumber pendapatan menjadi pendorong penglibatan usahawan wanita FELCRA Berhad dalam bidang keusahawanan. Selain itu, kajian juga mendapati usahawan wanita menggunakan teknologi terkini dalam aspek pengurusan pemasaran dan memiliki sumber pekerja yang mencukupi bagi keperluan perniagaan. Usahawan wanita juga didapati mempunyai kemudahan kredit dengan pembekal bagi memperolehi bahan mentah. Hasil kajian ini dijangka dapat membantu dan memberi peluang yang luas kepada golongan usahawan wanita FELCRA Berhad untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dengan lebih aktif dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi mereka. Kajian ini juga dapat membantu pihak FELCRA Berhad merancang pelbagai program dan latihan keusahawanan dalam membantu usahawan mencapai kejayaan dalam perniagaan yang mereka ceburi.

 

Kata kunci: Usahawan wanita dan amalan pengurusan perniagaan.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.